Friday, July 16, 2010
CATATAN KEEMPATTahukah anda bahawa terdapat lebih daripada lima belas alat muzik tradisional Melayu?
Ya, catatan hari ini tentang:
ALAT-ALAT MUZIK TRADISIONAL MELAYU
Selain daripada memberi sedikit pengenalan tentang alat-alat muzik ini, saya juga akan membincangkan sejarah mereka dan cara alat-alat muzik ini dimain.
Muzik adalah sesuatu yang digemari dan dinikmati ramai. Tanpa muzik, lebih ramai orang akan berasa tertekan kerana muzik adalah satu daripada pelbagai sumber untuk mencapai ketenangan. Selain daripada itu, muzik dapat menarik hati kebanyakan remaja dan itulah motif saya untuk membincangkan topik 'Alat muzik tradisional'.

Tidak pernah dengar tentang alat muzik rehab? Ini mungkin kerana anda hanya pernah dengar tentang anak umbang, suatu panggilan untuk rehab. Namun, panggilan 'anak umbang' seringnya digunakan para bomoh Melayu sahaja. Rehab adalah alat muzik yang tertua di dalam sejarah permainan muzik tradisional Melayu.
Rehab mempunyai dua atau tiga tali dan dimain dengan menggunakan busur kayu lengkap dengan tali nilon. Rehab digunakan sebagai alat muzik melodi pertama dalam beberapa lagu. Selain daripada itu, penggunaan rehab di Kelantan adalah untuk mengiringi cerita.

INI ADALAH SEBUAH KOMPANG
Saya pasti semua telah memiliki peluang untuk mendengar bunyi kompang yang dimainkan semasa sebuah majlis perkahwinan. Kompang adalah alat muzik tradisional yang paling popular di dalam budaya Melayu dan berbentuk seperti tamborin. Kebanyakan kompang diperbuat daripada kayu.
Kompang yang berbentuk seperti tamborin tetapi tidak mempunyai kepingan besi disekelilingnya sering dimain dalam sebuah kumpulan semasa majlis perkahwinan. Kompang yang mempunyai kepingan besi disekelilingnya pula sering digunakan dalam persembahan seni Melayu. Di Malaysia, kompang digunakan di pelbagai majlis seperti Perarakan Hari Kemerdekaan, majlis rasmi, serta majlis perkahwinan. Namun, di Singapura, kompang seringnya digunakan untuk persembahan seni Melayu dan majlis perkahwinan sahaja.
Bagi saya, kompang adalah alat muzik tradisional Melayu yang amat digemari. Saya pernah bermain kompang semasa jejak budaya Melayu atau 'Malay cultural trail' yang diadakan di sekolah saya tahun lalu. Dari itu, saya telah mempelajari tentang pelbagai irama yang dapat dihasilkan dengan memukul kompang tersebut.

INI ADALAH SEBUAH REBANA UBI
Rebana ubi adalah rebana yang terbesar. Ia mempunyai corak dekoratif di badan dan mukanya. Rebana yang lebih kecil adalah kompang.
Pada zaman dahulu, orang Melayu menggunakan rebana ubi untuk menyampaikan pelbagai amaran atau pesanan seperti amaran bahawa serangan musuh akan berlaku atau pengumuman untuk sebuah majlis perkahwinan.
Kini pula, rebana ubi digunakan dalam persembahan acara kemasyarakatan. Juga, rebana ubi digunakan dalam pelbagai muzik kesalehan Islam seperti zikir dan lagu-lagu tradisional Melayu.

Pada pendapat saya, para remaja generasi ini hanya tertarik kepada muzik-muzik yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris atau pada tempo masa kini, dalam bahasa Korea. Ini mungkin disebabkan lagu-lagu Inggeris dan Korea mempunyai tempo yang rencak. Para remaja boleh membuat kumpulan muzik tradisional Melayu sendiri yang memainkan lagu-lagu Melayu yang mengikut stail lagu-lagu berbahasa Inggeris dan Korea untuk menarik minat remaja-remaja lain. Cara sebigini amat menarik kerana selain daripada bermain alat-alat muzik tersebut, kami juga dapat mempelajari lebih tentang alat muzik tersebut serta menggalakkan remaja-remaja Melayu untuk menghargai muzik tradisional Melayu. Cubalah untuk memulakan sebuah kumpulan atau persatuan muzik tradisional Melayu bersama rakan-rakan anda! :D